|
INDRA PUTRA muncul penjaring gol terbanyak liga super selepas hatrik pada aksi di Kota Bharu kelmarin. Empat gol berbalas kosong. Satu kepuasan buat peminat Kelantan yang begitu mengharapkan Kelantan bukanlah pasukan yang hanya hebat ketika menentang pasukan belasahan. Perak yang turun dengan reputasi agak baik didalam liga dalam perlawanan-perlawanan terakhir mereka, nampak gentar dengan lautan manusia pahlawan merah yang membanjiri Stadium Sultan Muhammed Keempat. Penonton yang bertali arus memasuki stadium sehingga sendat rapat ke tangga gigi terbawah, memberi petanda bahawa penonton bolasepak Kelantan mula peka dengan kebangkitan Kelantan akhir-akhir ini.
Perlawanan dimulakan ketika penonton masih berpusu-pusu masuk dan beratur panjang diluar stadium, dek kerana dua barisan yang beratur dari kiri dan kanan harus diredakan oleh pihak keamanan agar tiada perebutan dan pergaduhan. Suasana penyokong Kelantan yang semakin berdisiplin, memperlihatkan kesabaran mereka dalam keadaan semangat ingin menonton bolasepak sebenar. Di scoreboard yang mampat bunyi gendang dan sorakan sahut menyahut dan berirama dengan penuh syahdu, bakal menyaingi persembahan terbaik Kelantan sejak lima perlawanan terakhir. Perak yang berjersi putih turun dengan kesebelasan muda, tidak menjanjikan apa-apa. Ada tanda-tanda kegerunan melihat wajah bekas pengendali Kelantan, M.Karathu. Dari seawal minit pertama, benteng pertahanan Perak mula bermain dengan penuh kosentrasi dan peka. Enam hingga tujuh pemain mereka tidak sekali-kali meninggalkan kotak penalti mereka. Begitu menggambarkan mereka tidak rela berputih mata diawal permainan tatkala Kelantan kelihatan begitu bernafsu untuk memberi hadiah awal kepada baladewa pahlawan merah yang jumlah mereka mungkin mencecah tiga puluh ribu orang. Gerakan-gerakan menarik serta hantaran pendek serba menjadi dari rangkaian serangan dan tengah Kelantan nampaknya begitu berbahaya. Kelantan yang turun dengan penyerang mereka yang kembali mendapat sentuhannya, Khalid Jamlus nampak begitu ketara tidak mampu menyaingi kelajuan benteng Perak yang bersungguh-sungguh bertahan. Dalam keadaan sedikit buntu, ada beberapa ketika Indra Putra yang mempunyai pakej lengkap sebagai pemain yang mampu memecah kebuntuan itu kerap memecahkan benteng Perak kendalian Chun Keng Hong dan Fauzi Ariffin. Sehingga minit ke 35, segala serangan Kelantan melalui bola rendah dan bola panjang semuanya mampu digagalkan dengan tenang. Penonton juga agak resah. Namun naluri peledak Indra Putra hadir dalam segenap segi.
Minit ke-35 separuh masa pertama, Indra Putra yang mendapat peluang melalui sepakan percuma berjarak 35 meter dari luar kotak penalti, menghantar suntingan bola laju ke penjuru atas kanan gawang kawalan Kamarul Effandy. Bersorak penyokong Kelantan menerima saguhati yang mengejutkan itu. Tidak ramai percaya Kelantan mampu menjaringkan gol hasil bola mati dari jarak yang amat jauh. Gol pertama itu memberikan kelegaan sebagai penawar untuk Kelantan berhenti rehat setelah tiupan wisel penamat separuh masa pertama dibunyikan oleh pengadil Syed Hussien.
Bermula separuh masa kedua, Perak sudah melakukan dua pertukaran, sebelum itu di separuh masa pertama mengeluarkan penyerang muda kelahiran Kelantan Saufi Saidi dan separuh masa kedua mengeluarkan Thinagaran. M.Karathu mencuba formasi yang lebih kearah memperkemaskan jentera tengah yang boleh membantu pertahanan mereka. Sekali sekala mengharapkan pemain baru dimasukkan Arsyah Ayob boleh menyuntik bola hantaran counter attack kepada Razali Umar yang agak kekok malam ini berdepan penyokong Kelantan serta dikawal rapi oleh pemain bek Kelantan berasal dari Perak, Ahmad Azlan Zainal. Azlan yang begitu bagus kawalan beliau setelah menjumpai rentak sebenar sejak lima perlawanan terakhir Kelantan, merupakan individu utama yang memberikan Kelantan tidak bolos dalam lima perlawanan terakhir. Wataknya yang dulu dianggap berat dan malas, kini berubah menjadi lebih fokus dan rajin. Lima minit separuh masa kedua bermula, Kelantan kembali dengan rentak permainan laju dengan hantaran dekat, sekali lagi memberikan kelegaan apabila Indra yang kali ini tidak terkawal menyudahkan sepakan rendah untuk menewaskan penjaga gawang Perak. Mungkin terdetik di hati pemain berkepala botak ini beliau ingin menunjukkan kesungguhan apabila menentang pasukan negeri kelahirannya.
Perak yang jarang-jarang membuat serangan balas mengejut, banyak mempersiakan peluang. Dua kali Razali Umar mendapat peluang untuk menewaskan Shahrizan Ismail, namun beliau menyepak tinggi kelangit dan satu lagi percubaan bahaya beliau ditangkap kemas oleh penjaga gol Kelantan itu. Selain itu, semua serangan Perak dipatahkan oleh gandingan Azlan dan Farisham, dengan sedikit bantuan Khairan yang bermain defensive midfielder. Khairan yang keletihan akhirnya dibawa keluar, di tukar dengan pemain yang boleh bermain di posisi centre back dan defensive midfielder iaitu Rizal Fahmi. Kemasukan beliau tidak banyak membantu dek ketika pemain tengah pasukan Perak sudah kebuntuan. Kelantan membuat pertukaran kedua memasukkan bintang muda Kelantan yang dirindui oleh semua peminat, iaitu Zamri Ramli. Kemasukan beliau menggantikan pemain kuota bawah 19 tahun iaitu pemain bek kanan yang mengenepikan Daudsu Jamaludin memanaskan bangku simpanan iaitu Hanif Md Noor. Zamri yang kelihatan masih tidak fit sepenuhnya dari kecederaan selain digantung dua perlawanan lepas hasil kutipan kad kuning keenam.
Gandingan Norfarhan dan Khalid Jamlus yang semakin kurang serasi, diselamatkan oleh hantaran Indra keseberang kanan dimana disitu posisi yang gemar diduduki oleh Norfarhan. Beliau yang kerap membuat larian dari sebelah kanan kelihatan tidak dikawal, memperbetulkan kedudukan dan dengan tenang menyepak kuat dan tinggi, hampir mampu di ditepis oleh Kamarul Effandy tetapi kekuatan sepakannya menjanjikan bola itu mencecah jaring pada minit ke-69. Akhirnya kebuntuan jaringan beliau sudah dipecahkan. Norfarhan yang kelihatan begitu puas dan sedikit emosi, berlari keseorangan tidak mahu dipeluk oleh rakan, perlahan-lahan berlari anak ke penyokong di belah scoreboard, memberikan tepukan kepada penyokong sebagai tanda terima kasih dengan sokongan tidak berbelah bahagi kepada beliau.
Watak Khalid Jamlus yang agak tenggelam ketika perlawanan tempo laju, sama juga dengan watak ketua pasukan Kelantan yang semakin gagal memberi saingan apabila beliau kelihatan agak malas. Khalid Jamlus akhirnya ditukar dengan penyerang muda sensasi Kelantan, Ailim Fahmi. Penyerang tinggi lampai ala-ala Peter Crouch ini, memberi nafas baru kepada jentera serangan Kelantan. Norfarhan yang seakan-akan ingin membalas jasa Indra Putra yang mendorong bola jaringannya tadi, kembali buat hantaran rendah kepada Ailim yang segera membuat dummy dan melepaskan bola itu kepada Indra Putra yang tidak terkawal. Gerakan terpaling cantik ini membuahkan gol tercantik dan terakhir malam ini. Indra menyepak ke hujung sisi kanan gawang menidakkan kemungkinan Kamarul untuk menangkap bola itu dalam situasi tergamam. Bergema Stadium Sultan Muhammed Keempat dengan pesta empat gol, pesta dari inspirasi pemain terbaik Malaysia ketika ini yang dimiliki Kelantan, Indra Putra Mahayuddin. Indra melakar namanya sebagai pemain penjaring terbanyak Liga Super setakat ini. Keghairahan dan kerajinan beliau membantu Kelantan, tidak nampak kekok atau segannya, seolah-olah Kelantan juga negeri kelahiran ibunya, ibarat kampung asal beliau. Jasa beliau pada malam pesta Kijang menundukkan Seladang malam tadi, tiada bandingannya.
Keseluruhan ratio pemain Kelantan, Shahrizan Ismail 6.5, Hanif Md Noor 6.0(Zamri Ramli 6.0), Azlan Zainal 7.0, Farisham Ismail 6.5, Zairul Fitree 6.5, Khairan Eroza 6.5(Rizal Fahmi 6.0), Ezrie Shafizie 6.5, Badhri Radzi 6.0, Indra Putra 8.0, Khalid Jamlus 6.0(Ailim Fahmi 6.5), Norfarhan 7.0.
|