|
Ditulis oleh Sinar Harian
|
|
FRIDAY, 29 JANUARY 2010 11:56 |
|
KOTA BHARU - Ketua Jurulatih The Red Warriors, B. Sathianathan mengakui wujudnya usaha menjatuh-kan dirinya dari terus mengendalikan pasukan itu. Beliau berkata, usaha itu didakwa dilakukan oleh mereka yang memasang angan-angan mahu menjadi jurulatih, tetapi tidak mempunyai kelayakan.
“Ia adalah usaha bagi merosakkan perancangan pasukan dalam memburu kejuaraan musim ini. “Saya sudah menyedari wujud gerakan (usaha) sabotaj dengan menyingkirkan saya daripada pasukan Kelantan berdasarkan prestasi pemain yang beraksi di bawah keupayaan sebenar,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian. Menurutnya, usaha berkenaan dilakukan oleh mereka yang cemburu dengan kejayaan pasukan dan tidak senang melihat Kelantan berjaya, malahan perkara sama pernah berlaku empat tahun lalu sekali gus menyebabkan kehancuran pasukan. “Masalah ini sudah pun selesai setelah pemain berjanji dan berikrar untuk berdiri teguh di belakang saya. Saya rasa bangga dan bersemangat dengan kepercayaan mereka,” katanya. Sementara itu, Pengurus Pasukan Ke-lantan, Azman Ibrahim memberi amaran keras kepada mana-mana individu yang cuba menimbulkan kekacauan dalam pasukan tersebut sehingga menjejaskan prestasi dan tumpuan merangkul kejuaraan pada musim ini. Amaran itu dibuat selepas diajukan soalan mengenai timbulnya ura-ura mengatakan wujudnya komplot untuk menjatuhkan Sathianathan daripada menerajui pasukan berkenaan. Mengulas masalah itu, Sathianathan tidak menolak kemungkinan bahawa prestasi terumbang-ambing pasukannya sebelum ini ada kaitan dengan masalah yang dialami. “Bagi menyelesaikan masalah ini, saya menemui kesemua pemain dan pengurusan untuk mendengar sendiri luahan hati ke hati dengan pemain dan mereka berjanji bersatu hati semasa perlawanan,” katanya. Beliau mahu pemain lebih profesional, sama ada mereka orang Kelantan atau tidak selagi mereka menyarung jersi Kelantan mereka perlu bermain dengan baik untuk pasukan yang diwakili. Sathianathan turut yakin Kelantan akan turun dengan semangat baru menjelang pertemuan dengan Pulau Pinang, malam esok. Sementara itu, pemain tengah Kelantan, juga bekas kapten pasukan, Mohd Badri Radzi menafikan wujud perpecahan di kalangan pemain sehingga menyebabkan prestasi mereka tidak menentu. “Tiada apa yang berlaku sebenarnya. Kami semua baik-baik saja dan mungkin nasib belum menyebelahi kami untuk memberikan apa yang diharapkan oleh peminat. “Sedikit masa lagi, saya percaya kami akan kembali ke prestasi sebenar dan pemain-pemain sentiasa bekerja keras untuk tujuan itu,” katanya. |